Petang semalam, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemukan meninggal dunia selepas tertinggal di dalam kereta bapanya yang diletakkan di tempat kerja di Bukit Makmur, Sungai Lalang, Kedah.

Difahamkan, kejadian itu disedari oleh bapa kanak-kanak tersebut selepas bekerja sebagai pemandu lori ketika mahu pulang ke rumah pada pukul 6.20 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, menyatakan mangsa dipercayai ditinggalkan di dalam kereta itu hampir 10 jam dalam keadaan tingkap tertutup serta enjin kereta dimatikan.

“Sebelum itu bapa mangsa yang berusia 30-an itu menghantar kakak mangsa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bayu, di sini pada 7.30 pagi dan terus ke tempat kerjanya di Bukit Makmur, Sungai Lalang,” ujarnya.

“Bapanya terlupa bahawa mangsa berada di dalam kereta dan sedang tidur di bahagian tempat duduk belakang,” jelasnya.

“Mangsa sepatutnya dihantar ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir sebelum lelaki itu ke tempat kerja,” katanya.

Sejurus sampai di tempat kerja, bapa mangsa terus keluar memandu lori ke beberapa kawasan sebelum pulang semula ke kilang itu pukul 4.30 petang.

“Ketika tiba di kereta sewaktu ingin pulang, bapa mangsa melihat mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian tempat duduk belakang kereta,” tambahnya.

“Lelaki itu terus membuat panggilan kecemasan untuk memaklumkan kejadian itu, bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan sudah meninggal dunia,” sambungnya lagi.

Berikutan itu, mayat mangsa dibawa ke forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat yang dijangka dilakukan pada 10 pagi tadi. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Takziah buat keluarga allahyarham.

Sumber: Berita Harian