Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang dikatakan hilang dari jagaan sepasang suami isteri di Kuarters Hospital Langkawi, Kedah, dipercayai telah meninggal dunia sejak dua minggu lepas.

Soal siasat terhadap lelaki yang menjaga Nur Aisyah Aleya Abdullah, tiga tahun, mendapati bahawa kanak-kanak malang itu mengalami sawan sebelum ditinggalkan di kawasan hutan.

“Hasil soal siasat mendapati, kanak-kanak berkenaan mengalami sawan ketika dimandikan lelaki berkenaan dan tidak sedarkan diri sebelum dia bertindak meninggalkan kanak-kanak itu di satu kawasan hutan,” ujar sumber.

Selepas kejadian itu, suspek bersama isteri dan anaknya melarikan diri ke Lembah Klang sebelum ditahan di sebuah premis di Taman Melati, berdekatan Ampang, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan, memberitahu bahawa pasukan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Langkawi dengan bantuan anggota dari IPD Ampang membuat tangkapan tersebut dan suspek telah pun dibawa pulang ke Langkawi untuk tindakan lanjut.

Sumber: Harian Metro