Mungkin kanak-kanak istimewa ini tidak boleh melihat, namun dia mempunyai keterangan hati kerana mampu menghafaz hampir semua surah dalam al-Quran dengan hanya mendengar alunan di radio.

Adik Ahmad Aqeel Faiz Mohammad Noor, tujuh tahun, juga disahkan menghidap autisme dan kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Presint 18, Putrajaya di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi pendidikan kanak-kanak kurang upaya penglihatan.

Menurut ibu Aqeel, Nur Izzah Mohamad Kamil, 36 tahun, memberitahu bahawa anaknya buta sejak lahir dan disahkan menghidap autisme sejak berusia setahun.

“Ketika umur Aqeel setahun, saya perasan perkembangannya agak lambat dan dia suka menghantukkan kepala di lantai malah menangis yang tidak tahu punca,” ujarnya.

“Selepas melakukan sedikit pembacaan dan perasan Aqeel ada ciri-ciri autisme, kami kemudian merujuk kepada pakar kanak-kanak seterusnya ke pakar psikiatrik dan doktor mengesahkan anak mempunyai mild autism,” jelasnya.

Adik Aqeel akan mendengar bacaan al-Quran dipasang oleh ibunya sepanjang malam hingga pagi jika dia tidak dapat tidur kerana sukar untuk membezakan waktu siang atau malam sebelum ini.

Tambah Izzah, ayat suci al-Quran sudah sebati dengan Aqeel kerana sudah didedahkan daripada kecil lagi malah ketika dalam rahim.

“Tapi mungkin juga kelebihan Aqeel buta dan autisme membuatkan dia dapat menghafaz banyak surah,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

“Saya rasa hampir semua surah dalam al-Quran dihafaz oleh Aqeel, selain tu Aqeel boleh membaca surah Al-Baqarah, Al-Imran, An-Nisa dan Yaasin,” tambahnya.

“Kami berharap Aqeel dapat menjadi hafiz al-Quran suatu hari nanti walaupun mempunyai kekurangan diri,” katanya.

Sumber: Harian Metro