Pelbagai ragam kita boleh lihat semasa hari pertama sekolah bermula semalam apabila ada yang menangis mahu balik rumah, rindu ibu bapa dan tak kurang juga hampir cedera.

Seorang murid Tahun Empat agak malang apabila kakinya tersangkut pada tempat duduk besi kira-kira 20 minit, di sebuah sekolah rendah agama di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, tengah hari semalam.

Ketika kejadian pada pukul 12.15 tengah hari, kaki kiri murid lelaki itu tersepit di celahan palang tempat duduk besi ketika menunggu ibu bapanya untuk pulang selepas tamat waktu persekolahan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA, Khairuddin Jamaludin, memberitahu bahawa pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan kaki murid berkenaan.

“Pihak kami menerima panggilan jam 12.25 tengah hari memaklumkan seorang murid murid tersepit pada palang besi di sebuah sekolah di lokasi sebelum seramai enam petugas dari BBP KLIA bergegas ke lokasi,” ujarnya.

“Sebaik tiba jam 12.36 tengah hari, kami mendapati benar seorang murid tersepit kaki kirinya antara palang besi yang dijadikan tempat duduk. Pihak kami menggunakan alat perenggang untuk menjarakkan besi sebelum berjaya mengeluarkan kaki murid itu,” jelasnya.

Menurut maklumat yang diterima, ketika kejadian mangsa sedang menunggu untuk dijemput di tempat duduk berkenaan dan memasukkan kaki ke celahan palang namun tidak berjaya mengeluarkannya sendiri.

“Kejadian berlaku selepas tamat waktu persekolahan. Murid berkenaan tidak mengalami kecederaan dan kakinya berjaya dikeluarkan dengan selamat,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro