Penyanyi Kaka Azraff, 29, selamat diijabkabulkan dengan usahawan, Adam Azriff, 25, pada jam 9.53 malam dengan sekali lafaz di kediaman keluarganya di Klang, Selangor, malam semalam.

Kaka dan Adam dinikahkan oleh Ustaz Azmi Selamat dengan berwalikan bapa saudaranya, Nor Izam Aminuddin. Bertemakan Melayu Klasik, Kaka kelihatan anggun dengan busana kebaya putih, di sisi suami yang turut mengenakan persalinan rona sama.

Menerusi kenyayaan dikeluarkan Warner Music, Kaka dan suami bersyukur pada Allah dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas doa dan restu dalam meraikan penyatuan kasih ini.

Kaka dan suaminya yang juga pemilik kafe akan mengadakan majlis resepsi pada tarikh yang akan ditetapkan untuk meraikan pasangan mempelai bersama media dan peminat.

Sebelum ini telah tular gambar sarung cincin yang tersebar di laman sosial. Kaka mengatakan bahawa itu hanyalah majlis merisik, bukan bertunang seperti disangka ramai.

Difahamkan, majlis resepsi pasangan mempelai yang menjalinkan hubungan cinta sejak setahun lalu itu bakal berlangsung di sebuah dewan di Damansara pada 22 Disember ini.

Sumber: Berita Harian