Sebanyak 120 jenama penapis air yang diragui status halal berada di pasaran dan dijual pada harga murah berbanding penapis berjenama, malah menggunakan bahan daripada tulang haiwan sebagai karbon aktif bagi menapis kotoran.

Baru-baru ini, seorang pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia(USIM), Dr Mahyeddin Mohd Salleh, mendedahkan satu kajian dilakukannya mengenai penapis air yang menggunakan tulang haiwan untuk dijadikan bio seramik bagi membekalkan kalsium pada air.

Menurutnya, kebanyakan penapis air itu diimport dari negara luar yang tidak mempunyai pengesahan halal serta dijual pada harga yang lebih murah berbanding jenama terkenal menggunakan bahan semula jadi.

“Kajian mendapati kebanyakan tulang haiwan dalam industri diperoleh dari sumber haram atau diragui status halalnya,” ujarnya.

“Memang tulang haiwan menjadi pilihan utama kerana harganya lebih murah dan mudah didapati,” katanya.

“Jenis tulang dan cara tulang diperoleh, termasuk disembelih secara betul atau tidak itu diragui dan kebanyakan karbon aktif daripada tulang haiwan dihasilkan dari China,” jelasnya.

“Jadi kita minta pengguna berhati-hati atau merujuk terlebih dulu dengan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” sambungnya.

Tambahnya, antara bahan dari sumber semula jadi seperti cengkerang laut, tempurung kelapa dan sisik ikan tilapia boleh menggantikan tulang haiwan yang digunakan dalam industri penapis air dan ia disahkan halal.

“Berdasarkan kajian, kebanyakan bahan penapis air di Malaysia diimport terutama dari China dan Taiwan, menyebabkan kebarangkalian tinggi untuk tulang diambil daripada sumber haram atau syubhah,” katanya.

“Penentuan hukum juga membabitkan aplikasi ‘istihalah’, memandangkan tulang yang digunakan dalam produk penapis air bukan lagi dalam bentuk asal, sebaliknya telah berubah ke bentuk arang dan bio seramik melalui proses pembakaran pada suhu tinggi,” jelasnya.

“Justeru saya nasihatkan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati membeli produk penapis air yang semakin mendapat tempat kebelakangan ini,” ujarnya.

“Buat rujukan terlebih dulu bagi memastikan barangan yang dibeli itu daripada sumber yang halal,” sambungnya.

Walau bagaimanapun, berdasarkan pemeriksaan lapangan yang dijalankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri(Jain), terdapat penemuan penapis air yang mengandungi bahan dari sumber haiwan seperti tulang dan lemak.

Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Bukhari Md Akhir, menjelaskan bahawa masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya membuat kesimpulan secara menyeluruh komponen yang terkandung dalam penapis air adalah daripada sumber bahan tidak halal.

Dalam pensijilan halal, segala sumber bahan mentah atau ramuan yang berasaskan haiwan adalah kritikal serta status kehalalannya wajib diperiksa dan disahkan pihak berautoriti sebelum digunakan mana-mana pemegang atau pemohon SPHM.

Difahamkan, syarat berkenaan adalah antara keperluan umum yang perlu dipenuhi pemohon SPHM untuk pelbagai skim yang ditawarkan dalam pensijilan halal Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai barang gunaan yang sudah dipersijilkan halal, anda boleh layari Portal Rasmi Halal Malaysia di www.halal.gov.my. dan aplikasi Verify Halal.

Sumber: Harian Metro