Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong, kaum Melayu mencatatkan kes kebankrapan tertinggi di antara tahun 2015 sehingga 2019.

Berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi, Melayu mencatat sebanyak 56 peratus daripada keseluruhan 80,625 kes bankrap, iaitu sebanyak 45,147 kes, jelas Liew semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Kemudian, ia diikuti kaum Cina sebanyak 26 peratus, India (11.3 peratus), dan lain-lain ( 6.7 peratus).

Difahamkan, statistik tersebut turut menyatakan lelaki mencatat 69.7 peratus kes kebankrapan, manakala dari segi lingkungan umur, mereka yang berumur 25-34 tahun dan 45-54 tahun masing-masing mencatat peratus kebankrapan tertinggi iaitu sebanyak 25.3 peratus.

Liew memberi kenyataan berkenaan ketika menjawab soalan Willie Anak Mongin (PH – Puncak Borneo), yang ingin mengetahui jumlah rakyat Malaysia yang muflis antara 2015 hingga Ogos 2019.

Gambar sekadar hiasan

Selain itu, Liew turut menjelaskan bahawa kerajaan pada masa kini telah melaksanakan pelbagai usaha bagi mengurangkan kadar kes kebankrapan di Malaysia.

“Antara langkah dan strategi bagi membantu golongan ini ialah dengan memberi kesedaran serta kefahaman kepada individu itu sendiri, dan masyarakat tentang risiko atau kesan daripada perintah kebankrapan,” ujarnya.

“Kerajaan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga telah mengadakan program kesedaran tentang isu muflis. Ia melibatkan perancangan kewangan kepada semua peringkat umur supaya dapat ditangani masalah pengurusan kewangan di peringkat pra kebankrapan,” sambungnya.

Sumber: Astro Awani