Zaman dulu kahwin muda bukanlah perkara yang asing atau janggal, bahkan ia biasa terjadi dalam masyarakat kita.

Walau bagaimanapun, terdapat keburukan berkahwin muda pada zaman sekarang dan boleh dikatakan ramai yang bercerai di usia muda kerana tiada persefahaman.

Seorang pengguna Twitter, @ayuazizz, berkongsi pendapat serta nasihat kepada mereka di luar sana yang mahu berkahwin di usia muda.


Beberapa hari lepas tular mengenai kisah perkahwinan muda umur 16 tahun dan 21 tahun di laman sosial tersebut dan Ayu memberi gambaran sebenar mengenai berkahwin di usia muda.

Menurutnya, dia juga pernah berkahwin muda iaitu umur 20 tahun di saat semua rakannya sedang belajar menghabiskan STPM dan diploma.

Jelasnya, realiti sebenar kahwin muda ini ialah apabila anda diduga dengan masalah kewangan kerana masing-masing masih muda melainkan anda berkahwin dengan pasangan yang lebih berusia.

“Kawan-kawan yang lain tengah seronok nak grad, kau pula tengah memikir nak masak apa tengahari esok, baju tadi dah basuh ke belum, esok laki kau nak pakai baju apa,” ujarnya.

Malah, dia juga menasihati golongan muda masa kini agar fikir masak-masak dulu serta tidak terlalu mengikut trend hanya kerana melihat ramai yang berkahwin muda tetapi berkahwinlah kerana Allah.

“Sabarlah. Simpan sikit kegatalan itu. Simpan banyak lagi bagus dik. Dengar cakap akak. Akak dah kahwin muda. Dan akak cerai dalam usia muda juga dik,” katanya yang menyesal berkahwin muda dulu.

Pesannya, jika anda sudah pun berkahwin di usia muda, semoga anda lebih bersemangat untuk menempuh dugaan rumahtangga, bersabar dan banyakkan solat.

Sumber: Twitter @ayuazizz