Perkhidmatan teksi motosikal, Go-Jek atau Dego Ride dilihat mampu menolong usahawan muda di samping memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang mempunyai motosikal.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menjelaskan bahawa Kabinet telah meluluskan modal ekonomi Go-Jek, semalam.

“Alhamdulillah, pada hari ini (semalam) Kabinet sebulat suara meluluskan modal ekonomi Go-Jek atau Dego Ride. Kita ikhlas ingin memastikan golongan mat motor mendapat peluang pekerjaan puluhan ribu,” ujarnya melalui video di akaun Instagram miliknya.

“Pada masa sama, kita ingin membantu mak cik dan pak cik yang mengendalikan warung sedia ada untuk menjual barang mereka melalui perkhidmatan Go-Jek,” katanya.

“(Kita juga) Ingin membantu usahawan muda. Dengan wujudnya Go-Jek ini (mereka) dapat menjual barangan mereka juga dengan menggunakan perkhidmatan Go-Jek,” jelasnya.

“Turut ingin membantu anak muda atau rakyat secara keseluruhannya mengambil pengangkutan awam tetapi perlu bantuan dari rumah ke Transit Aliran Ringan (LRT) atau Transit Aliran Massa (MRT) dengan kos rendah dan tidak perlu menghadapi kesesakan lalu lintas yang teruk,” tambahnya.

“Insya-Allah kita akan terus berusaha keras untuk memastikan anak muda terus mendapat pembelaan yang terbaik. Ini adalah masa depan Malaysia kita semua,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro