Kebanyakan jurusolek, mekap artis atau mak andam menggunakan bulu mata palsu untuk pelanggan mereka terutama mereka yang bergelar raja sehari.

Walaupun cantik dipakai, namun ia tetap dilarang dalam Islam. Seorang jurusolek meluahkan perasaan bersalahnya kerana mengingkari arahan agama semasa mencari rezeki.

Nina Syazana, 25 tahun, berkongsi pendapatnya di laman sosial dan memaklumkan bahawa dia tidak lagi menawarkan khidmat pemakaian bulu mata palsu, sanggul tinggi serta mekap tebal kerana sedar ia sesuatu yang bertentangan dengan agama.

Menurutnya, dia baru mendapat kesedaran dan bimbang rezeki yang diterimanya tidak diberkati jika masih menawarkan khidmat seperti sebelum ini.

“Kadang-kadang saya sendiri yang paksa pelanggan pakai sanggul palsu untuk bagi nampak lebih cantik. Tapi akhirnya saya sedar ia perbuatan yang salah,” ujarnya.

“Tapi ini tak bermakna saya berhenti jadi jurumekap, cuma lepas ni saya akan elakkan apa yang ditegah dalam agama, mekap yang saya akan hasilkan pula lebih kepada gaya natural dan soft sahaja,” tambahnya.

Berikutan keputusannya itu, Nina kehilangan beberapa pelanggan dan rakan jurusoleknya turut mendiamkan diri dipercayai tidak setuju dengan kenyataannya.

“Tapi Alhamdulillah, ajaibnya kuasa Allah, dia gantikan dengan pelanggan baharu. Ramai juga yang mesej, cakap yang mereka suka dengan pendirian saya,” katanya.

Sumber: mStar