Baru-baru ini, kerajaan membuat cadangan menggunakan bil elektrik untuk menentukan golongan yang layak menerima subsidi petrol RON95.

Menurut Sin Chew Daily, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen, menjelaskan bahawa hanya golongan dalam kategori B40 dengan bil elektrik bulanan antara RM100 sehingga RM200 sahaja layak mendapat subsidi berkenaan.

Difahamkan, Chong menyatakan penggunaan bil elektrik hanyalah sebagai rujukan dalam satu temuramah eksklusif dengan surat khabar itu. Malah, cadangan bagi mekanisme itu akan dibawa ke Kabinet bulan depan.

Menurutnya, mereka yang layak boleh pilih untuk menikmati subsidi bulanan sebanyak RM30 atau subsidi sebanyak 30 sen untuk setiap liter petrol RON95 sehingga 100 liter setiap bulan. Bagi penunggang motosikal pula, subsidi akan diberi sebanyak RM12 setiap bulan.

Tambahnya, wang akan dimasukkan terus ke akaun penerima. Mekanisme subsidi bersasar bagi minyak petrol RON95 sebelum ini dicadangkan untuk dilaksanakan pada Julai tahun ini tetapi ia ditangguhkan.

Pada ketika ini, pihak kerajaan secara purata membelanjakan RM133 juta setiap minggu untuk subsidi minyak di negara ini.

Sumber: Astro Awani