Setiap orang pasti mempunyai hobi tersendiri dan ada yang suka mengumpul barangan unik dan edisi terhad yang sukar diperolehi.

Hobi mengumpul barangan ini juga dikatakan lumayan kerana anda dapat menjual koleksi barangan anda dengan harga yang tinggi kerana barangan terhad sebegini pasti ada yang mahu membelinya.

Seorang pengumpul topi keledar dari serata dunia yang berasal dari Terengganu tular di media sosial baru-baru ini apabila menjual topi keledar berharga RM48,000.

Ianya bermula apabila akaun Facebook miliknya, Kory Cobblestone, memuatnaik gambar topi keledar edisi terhad jenama Shoei, ‘Jack’ berwarna kuning di laman sosial tersebut dan mendapat beratus perkongsian serta beribu likes.

Topi keledar Jack itu berjaya dijual kepada pengumpul barangan permotoran dari Kelantan dengan harga RM48,000.

“Alhamdulillah, dapat jual pada harga RM48,000 walaupun anggaran sebenar boleh mencecah RM70,000,” ujarnya sambil menambah pemilik baru topi keledar itu masih mencari koleksi sama dalam warna berbeza iaitu kelabu.

Pemilik baru topi keledar edisi terhad tersebut, Mohd Rezuwan Basrah, 29 tahun, memberitahu dia juga pernah menjual topi keledar jenis sama berwarna biru pada harga RM8,200 kepada pelanggan dari Muar, Johor, dua tahun lalu.

“Apabila topi keledar dijual pada harga RM48,000, saya tidak terkejut kerana itulah harga yang perlu dibayar bagi penggemar koleksi barangan edisi terhad. Harganya juga boleh melonjak bila-bila masa,” ujarnya sanggup membeli pada harga tinggi.

Sumber: Harian Metro