Seorang pendakwah bukan sahaja dapat berdakwah, namun dia juga dapat membantu menjual petai untuk membiayai misi kemanusiaan membantu asnaf dan fakir miskin di kawasan pedalaman di Batu 8 Sandakan, Sabah.

Pendakwah bebas, Dr Azizul Rahman Ahmad Yusuf, 38 tahun, memberitahu pendekatan tersebut turut membantu dia memasarkan petai yang dikumpul mualaf dalam kalangan masyarakat Orang Asli dari Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang.

“Saya kerap berdakwah di penempatan masyarakat Orang Asli di pedalaman Pahang seperti Pos Titom, Pos Simoi dan Pos Lenjang melalui laluan Sungai Koyan,” katanya.

Menurutnya, mualaf dari kalangan masyarakat Orang Asli perlu dibantu dari segi penerapan nilai Islam dan juga hal ekonomi supaya dapat menggalakkan mereka berdikari.

“Petai yang dipetik saya beli secara pukal, jadi saudara baru dalam kalangan masyarakat Orang Asli tak perlu bersusah payah keluar ke bandar menjual hasil kutipan mereka,” jelasnya.

Walaupun terpaksa memandu sejauh 200 kilometer (km), namun dia yang mesra dipanggil Pak Tam itu puas kerana dapat membantu kehidupan masyarakat itu.

Sejak aktif bersama kumpulan dakwah di Sabah, hampir 1,000 individu yang dihampirinya akhirnya memeluk Islam.

“Jadual terkini kami ialah ke kampung sampah di Sandakan Oktober ini. Bagi orang ramai yang mahu membeli petai segar untuk pembiayaan dakwah ini boleh membuat tempahan,” tambahnya.

Malah, jualan juga sekali ganda lebih murah berbanding harga pasaran di mana Setiap ikat yang mempunyai 100 papan petai yang dijual pada harga RM100.

“Jualan amal ini akan berterusan mengikut musim tuaian hasil hutan di penempatan Orang Asli pedalaman Pahang. Bulan depan tempahan dibuka untuk buah perah,” ujarnya.

Jika anda mahu menderma selain daripada membeli petai dan hasil hutan lain untuk membantu golongan asnaf di Sandakan, Sabah, anda boleh menderma melalui akaun 164892054640 Maybank atas nama Azizul Rahman.

Sumber: Harian Metro