Sebenarnya menjual ikan boleh menjana pendapatan yang lumayan jika anda tahu selok-belok berniaga dan bermain dengan harga.

Tiga beradik berasal dari Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu, Terengganu, mendapat untung RM3,000 hingga RM4,000 sehari dengan menggunakan taktik menjual ikan RM2 lebih rendah bagi setiap kilogram (kg) berbanding harga biasa.

Difahamkan, Mohd Anuar Arifin, 32 tahun, Mohd Al Fatah, 30 tahun, dan Mohd Sufian, 23 tahun, mengumpul wang modal hingga RM8,000 untuk memulakan perniagaan sejak enam bulan lepas.

“Kami jual RM1 hingga RM2 untuk sekilogram ikan berbanding harga pasaran semasa selain menyuntik modal lain untuk berniaga sayur dan buah termasuk durian sehingga tapak niaga mendapat jolokan ‘pasar mini’ berikutan menyediakan pelbagai jenis barangan basah,” ujar Al Fatah.

Selain itu, Anuar juga memberitahu saat paling menyeronokkan apabila mereka dapat menggandakan untung sehingga RM8,000 sehari pada bulan Ramadan lalu. Malah, mereka terpaksa menambah stok pada setiap hari ekoran jualan yang memberangsangkan ketika itu.

Menurutnya, sebelum ini dua adiknya tidak mempunyai kerja tetap, tetapi mereka mampu menjana pendapatan secara konsisten hasil berniaga ikan serta mampu menyimpan untuk masa depan mereka.

Sumber: Harian Metro