Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ), memanjangkan tempoh pembayaran diskaun 70 peratus yang ditawarkan bagi bayaran saman yang dikeluarkan JPJ dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sehingga hujung bulan ini.

Pengarah Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik JPJ, Mohamad Yatim Nawawi, menyatakan tempoh pembayaran yang berakhir pada hujung bulan lalu telah dilanjutkan sebulan lagi atas arahan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, bagi membantu rakyat ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP).

Sambutan tawaran diskaun itu amat menggalakkan sehingga menyebabkan semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan Pusat Transformasi Bandar(UTC) penuh sesak dengan orang ramai yang mahu membayar saman.

“Selepas tamat tempoh diskaun ini individu yang mempunyai saman akan membayar saman seperti asal,” katanya.

Difahamkan, diskaun 70 peratus bayaran saman itu adalah sempena sambutan bulan kemerdekaan bagi saman yang dikeluarkan atas kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah di bawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

Selain pejabat JPJ negeri, cawangan dan UTC, anda juga boleh membuat pembayaran di portal mySIKAP JPJ, kiosk JPJ dan JPJ Mobile.

Bagi kesalahan yang disenarai hitam, anda dikehendaki hadir ke pejabat JPJ cawangan atau negeri bagi proses dokumentasi sebelum urusan pembayaran dilakukan.

Sumber: Berita Harian