Salah seorang anggota kumpulan One Nation Emcees, Jojo atau nama sebenarnya Nur Hasan Balas, 44 tahun, berkongsi kisah dia berhijrah ke jalan yang benar.

Menurutnya, dia solat pada kali terakhir adalah semasa dia bersekolah dulu, malah dia pernah terleka dengan duniawi sehingga telah mengabaikan solat selama lebih 20 tahun.

“Saya jahil tentang agama, banyak tuntutan yang saya tinggal dan lebih mengejar duniawi,” ujarnya.

“Saya tak pernah solat sebelum ini, kali terakhir pun solat Jumaat ketika bersekolah, kemudian apabila mula bekerja saya tinggal terus,” jelasnya.

“Bayangkan masjid sebelah rumah pun tak nampak. Betapa gelapnya hati saya ketika itu,” katanya.

“Tetapi lebih kurang tiga tahun lalu, Allah beri saya hidayah. Nak kejar dunia perlu ada agama. Saya terfikir, apa rasa orang yang bersolat? Kata orang solat itu nikmat. Jadi saya nak rasa,” tambahnya.

Selain itu, Jojo turut membuat carian Google mengenai cara-cara untuk menunaikan solat terutama waktu Subuh kerana tiada guru untuk membimbingnya.

“Saya berjaga malam tak tidur sebelum nak mula mendirikan solat Subuh. Saya ke surau, tunggu jemaah masjid datang dan belajar,” sambungnya lagi.

“Kemudian saya cuba istiqamah solat Subuh selama dua minggu tanpa henti. Lepas tu belajar solat Isyak dan Maghrib,” ujarnya.

“Allah beri ilham untuk rasa seronok dan alang-alang itu saya terus buat solat lima waktu,” kongsinya.

“Ketika itu walau duit dalam poket ada RM5 saja, hati rasa tenang dan bahagia. Inilah sebenarnya yang saya cari,” ceritanya.

“Ada seorang lelaki mula bercahaya putih memperkenalkan namanya Muhammad. Saya tak nampak muka dia tetapi dia bawa saya ke perigi dan beri saya minum,” katanya semasa bercerita mengenai mimpi dialaminya sejak darjah enam yang membuatkan dia kembali berhijrah.

“Selepas itu, dia hadiahkan saya bunga. Ketika itu saya dapat membaca Al-Quran dengan begitu lancar,” jelasnya.

“Saya kemudiannya berjalan ke arah satu pintu yang apabila dibuka ada kawasan langit yang luas. Di situ ramai lelaki berjubah putih mengajak saya mendirikan solat bersama-sama dalam satu saf,” tambahnya.

Sumber: Gempak