Sejak isu suntikan vaksin dan penyakit serta kes difteria yang muncul di negeri Johor berlaku, pihak kerajaan negeri tersebut akan mengkaji untuk mewajibkan ibu bapa memberi suntikan vaksin imunisasi kepada anak-anak mereka sekaligus mengelakkan sebarang risiko jika tidak memberikan suntikan berkenaan.

utusan.com.my

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal, memberitahu bahawa tindakan tersebut akan dikaji berikutan penyakit dan kes yang jarang ditemui seperti difteria yang kini sudah mula dikesan di negeri itu.

Menurutnya, kerajaan negeri Johor bersetuju dan menyokong cadangan Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan suntikan vaksin imunisasi.

Gambar sekadar hiasan

“Jika Kerajaan Persekutuan ingin mewajibkan vaksinasi atau memberi hukuman dan denda kepada mereka yang mengelak untuk diberi vaksinasi, saya sangat setuju. Maknanya, kita beri penekanan wajib kepada semua untuk diberi suntikan itu,” ujarnya.

Khamis minggu lepas(21 Februari), seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun sebulan maut di Johor disyaki akibat jangkitan difteria kerana mana kanak-kanak berkenaan tidak pernah menerima sebarang suntikan imunisasi sejak dilahirkan.

Gambar sekadar hiasan

“Kebanyakan ibu bapa salah anggap tentang kepentingan vaksin dan kebanyakan penyakit yang boleh menyebabkan kematian jika tidak diberi vaksin adalah penyakit pertusis, difteria dan campak,” jelasnya.

Oleh itu, ibu bapa disarankan agar peka mengenai pelbagai maklumat yang diberikan oleh golongan profesional seperti doktor bertauliah berbanding mendengar sebarang maklumat daripada golongan anti vaksin bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sumber: Astro Awani & Bernama