Kerajaan Negeri Johor kini giat mempersiapkan gelanggang atau lokasi kejohanan sebagai persediaan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, dua tahun lagi. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata hoki wanita adalah salah satu sukan yang akan berlangsung di daerah ini dan juga akan menggunakan padang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Bentara Luar.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan itu berkata, pemilihan padang di sekolah itu sebagai venue adalah kerana sekolah itu mempunyai sebuah padang yang dilengkapi dengan padang rumput sintetik, sekaligus menjadi satu-satunya sekolah yang mempunyai padang yang bertaraf antarabangsa di negeri ini.

“Oleh yang demikian, kita akan menaik taraf padang di SMK (Dato’ Bentara Luar) ini dengan membina sebuah ‘grandstand’ serta tempat penonton agar atlet serta mereka yang hadir pada kejohanan ini berada dalam keadaan yang selesa. Dalam masa yang sama, kita juga akan turut menaik taraf saliran perparitan di padang terbabit. Kini, proses untuk menilai kos sebenar keperluan untuk menaik taraf sedang dilakukan,” katanya lagi.

Selain dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Bentara Luar, terdapat satu lagi lokasi untuk sukan hoki wanita di daerah Johor iaitu padang di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang akan turut dinaik taraf.

“Sebelum ini, kita telah umumkan peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk menaik taraf Lapang Sasar Menembak di Tanjung Laboh, dekat sini. Kita juga akan memastikan venue lain berada dalam keadaan yang memuaskan. Selain hoki wanita dan menembak, kita juga sedang usahakan untuk membawa acara lain untuk dipertandingkan di daerah ini seperti silat olahraga, judo, memanah dan beberapa yang lain,” katanya.

Sumber: mStar