Sejak dua minggu lalu, isu pengenalan tulisan khat atau Jawi mendapat bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidikan Cina dan Dong Zong.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya, mencabar mereka yang menentang penulisan khat dan Jawi terutama Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong), agar memperjuangkan perkara yang sama terhadap syarikat daripada kaum itu yang kini semakin banyak menggunakan tulisan tersebut dalam produk-produk keluaran mereka.

Menurutnya, dia hairan kerana golongan tersebut begitu benci terhadap khat dan Jawi tetapi menggunakannya dalam memasarkan produk-produk keluaran mereka termasuk sijil logo halal kerana sebahagian besar pelanggan mereka adalah terdiri daripada orang Islam dan Melayu.

“Jika begitu (bantah khat dan Jawi), sila gunakan logo halal tulisan mandarin atau tamil,” katanya.

Selain itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman, mencadangkan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya mengeluarkan Sijil Halal dalam tulisan mengikut bangsa pemilik produk, lapor Malaysia Gazette.

Menurutnya, jika produk itu dikeluarkan oleh pemilik Melayu, Islam, Jakim perlu mengeluarkan Sijil Halal dalam tulisan Jawi.

Manakala jika produk berkenaan dikeluarkan oleh syarikat Cina dan India, maka Sijil Halal mesti ditulis dalam bahasa Mandarin dan Tamil.

“Mereka (Dong Zong) tak nak Jawi, okey. Kita boleh terima. Tapi kita mahu penolakan itu secara menyeluruh sehingga pada produk keluaran bukan Islam pun dihapuskan tulisan Jawi,” ujarnya.

“Kita tidak mahu mereka mengambil kesempatan mengaut keuntungan atas kuasa membeli dalam kalangan orang Melayu dan Islam secara mengelirukan pembeli dengan tulisan Jawi,” jelasnya.

“Ini tidak patut. Kalau betul-betul bencikan tulisan Jawi, jangan pakai, walaupun pada produk mereka,” sambungnya.

Sumber: Utusan Online