Berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk, Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) menasihati orang ramai agar menggunakan topeng jenis N95.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan bahawa topeng menutup hidung dan mulut jenis itu paling berkesan untuk kegunaan ketika berjerebu dan habuk.

“Penutup hidung dan mulut N95 tidak direka bagi kanak-kanak dan pemakaian sempurna (perfect fitting) adalah sukar bagi mereka yang berjanggut atau berjambang,” ujarnya.

“Sementara penggunaan penutup hidung dan mulut tiga lapis (sebagai gantian N95) pula bertujuan menghalang kuman yang boleh merebak melalui pernafasan, tetapi ia tidak sekedap respirator N95,” jelasnya.

Menurutnya, topeng jenis N95 dapat menapis udara yang disedut tetapi mempunyai kelemahan jika ia tidak dikenakan dengan betul.

Selain itu, Dr Noor Hisham turut mengesyorkan penggunaan penutup tiga lapis sebagai ganti jika sukar mendapatkan topeng N95 atau berbanding tidak memakai topeng muka semasa membuat aktiviti luar.

Untuk pengetahuan anda, jerebu yang berada pada paras sangat tidak sihat boleh menyebabkan gangguan seperti, batuk, selsema, asma, sakit mata dan jangkitan paru-paru.

“Terutama anak-anak kecil dan mereka yang mengidap penyakit respiratori dan jantung kerana mereka lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu,” katanya.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan semasa mengenai jerebu serta menyemak IPU di laman web Jabatan Alam Sekitar.

Sumber: Harian Metro