Pulau Pinang dilanda jerebu sejak beberapa hari lepas dan keadaan tersebut menjadi semakin teruk apabila mencecah paras tidak sihat sejak pagi tadi.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara ( IPU) melebihi paras 100 iaitu di Seberang Jaya dan Seberang Perai yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu masing-masing 120 dan 109 sehingga pukul 3 petang tadi.

utusan.com.my

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh, memberitahu bahawa jerebu berpunca daripada pencemaran jerebu yang merentasi sempadan dari Kalimantan dan Sumatera, Indonesia berikutan angin Monsun Barat Daya yang bertiup ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Berikutan itu, rakyat negeri tersebut diminta mengurangkan aktiviti luar buat sementara waktu dan memakai topeng muka serta minum air banyak pada musim jerebu ini.

Malah, pihaknya turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau menyebabkan pembakaran terbuka.

Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Astro Awani