Dua peristiwa menyayat hati itu dilalui Zaini Musa, 55 tahun, dari atas katil berikutan tidak mampu bergerak akibat kanser otak tahap tiga yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.

Dia melihat mayat anaknya Siti Nur Surya Ismail, 19 tahun, terbujur kaku selepas dibunuh dengan kejam di depan mata di ruang tamu rumah, kelmarin.

Manakala semalam, dia hanya mampu melihat jenazah anaknya diusung keluar dari ruang tamu untuk dibawa ke tanah perkuburan.

Untuk pengetahuan anda, penyakit dihidapi Zaini menyebabkan dia tidak mampu bercakap seperti biasa.

Sebaik jenazah diusung keluar dari ruang tamu rumah kira-kira 6.30 petang, suami Zaini yang juga ayah kepada allahyarhamah Surya, Ismail Muda, 58 tahun, memberitahu apa yang berlaku.

Malah, dia turut memalingkan muka isterinya ke arah keranda yang menempatkan jenazah anak perempuan mereka, namun Zaini sekadar melihat tanpa sebarang kata.

Suasana menjadi pilu seketika hingga menyebabkan Ismail dan beberapa anaknya serta mereka yang berada di ruang tamu tidak dapat menahan rasa sedih.

Difahamkan, jenazah Siti Nur Surya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat, Kuala Terengganu, Terengganu, pada pukul 8.15 malam tadi.

Sebelum itu, jenazah allahyarhamah tiba di rumah keluarganya di Kampung Beladau Kepong dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sekitar pukul 6.30 petang.

Kemudian, jenazah Allahyarham dibawa ke masjid di kampung itu untuk disembahyangkan selepas solat Maghrib.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan yang turut dihadiri lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan.

Salam takziah daripada team Salaam. Semoga roh allahyarhamah ditempatkan dalam golongan yang beriman dan semoga ahli keluarga allahyarhamah tabah menghadapi dugaan ini.

Al-fatihah.

Sumber: Harian Metro