Jenazah pegawai komando Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, 36 tahun, yang meninggal dunia semalam akibat terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh, Perak, mengikut istiadat pengebumian Angkatan Tentera Malaysia(ATM) sekitar pukul 8.45 pagi tadi.

Allahyarham yang juga anak kepada pelakon dan pelawak terkenal, AR Badul, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada pukul 9.20 pagi semalam.

Dilihat ratusan pegawai dan anggota tentera, ahli keluarga, saudara mara serta rakan hadir di tanah perkuburan tersebut pada pagi ini bagi memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, turut menziarahi jenazah Allahyarham pukul 6.45 pagi tadi serta meluangkan masa selama 10 minit berbual dengan waris Allahyarham.

Suasana mendung dan gerimis selepas hujan lebat awal pagi tadi mengiringi pengebumian jenazah yang disembahyangkan di kediaman ibu mertua allahyarham dan diimamkan oleh Pegawai Staf Agama, Markas 2 Briged, Lt Kol Titan Abd Wahap.

Difahamkan, allahyarham yang bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka, dan berasal dari Kuala Lumpur, meninggalkan seorang balu, Nour Shafinar Harun, 31 tahun, serta lima orang anak berusia antara lima bulan sehingga sembilan tahun.

Takziah diucapkan kepada keluarga allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan yang beriman. Al Fatihah

Sumber: Astro Awani