Kisah seorang bayi ditemui dalam peti ais rumah pengasuh semalam mendapat liputan meluas dan begitu terkesan di hati rakyat Malaysia.

Difahamkan, jenazah Adam Rayqal Mohd Sufi, lima bulan, akan disemadikan di Kuala Terengganu pada malam ini selepas dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL), pukul 3.06 petang tadi.

Jenazah bayi tidak berdosa itu dibalut dengan kain batik sambil dipangku oleh ibunya, Farrah Madihah Othman, 28, menaiki Honda Jazz dipandu adik Farrah Madihah dengan ditemani bapa Allahyarham, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28 di tempat duduk belakang.

Menurut datuk saudara allahyarham, Abdul Rahim Ismail, 54 tahun, memberitahu bahawa jenazah anak syurga ini akan dikebumikan malam nanti di Tanah Perkuburan Ladang Sekolah, Kuala Terengganu.

Terdahulu, proses bedah siasat mangsa bermula pada pukul 11 pagi tadi berakhir pada pukul 2.15 petang dan kemudian dimandikan, dikafankan serta disembahyangkan di IPFN HKL.

Sumber: mStar