Seorang jemaah lelaki rebah dan meninggal dunia sebelum azan Subuh berkumandang di Masjid Gombak Utara, Gombak, pagi tadi.

Bilal masjid, Md Zin Zakaria, 62 tahun, menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku pukul 5.45 pagi semasa para jemaah sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

“Keadaan sedikit kelam kabut apabila seorang jemaah terbaring. Dia baru saja menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum rebah secara tiba-tiba,” ujarnya.

Menurutnya, mereka menghubungi talian kecemasan sebelum jemaah lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh seorang pembantu perubatan yang tiba bersama ambulans.

“Ini kejadian kali pertama membabitkan kematian jemaah berlaku dalam masjid ini,” jelasnya.

“Lelaki ini istimewa, malah cara pemergiannya cukup menyentuh hati kami. Kami menyifatkan, pengakhirannya sungguh mulia dan dicemburui,” katanya.

Difahamkan, allahyarham berasal dari Madura, Indonesia, dan menyewa di kawasan sekitar masjid.

“Dia selalu dilihat solat di masjid ini. Saya difahamkan isteri dan anaknya berada di Indonesia manakala dia menyewa bersama seorang rakan di Gombak,” sambungnya lagi.

“Jenazahnya akan dihantar pulang ke Madura selepas bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur,” tambahnya.

Semoga allahyarham ditempatkan dalam kalangan yang beriman dan takziah buat keluarga arwah. Al fatihah.

Sumber: Harian Metro