Kisah percintaan antara seorang jejaka dari Kelantan, Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim, 27 tahun, bersama pilihan hatinya iaitu seorang gadis Korea, You Narae, 27 tahun, telah tular sebelum ini dan selamat dinikahkan petang semalam.

Difahamkan, acara akad nikah berlangsung di di Masjid Itaewon, Seoul, Korea Selatan, sekitar pukul 4.30 petang (waktu Malaysia) dalam suasana majlis ringkas di mana mereka hanya ditemani oleh saksi dan juga beberapa kenalan sahaja.

“Majlis akad nikah agak ringkas tetapi apa yang menariknya, secara kebetulan ada satu rombongan pelancong dari Kelantan yang datang ke masjid berkenaan untuk solat,” ujarnya.

“Kumpulan rombongan itu bertanyakan kepada saya adakah kisah kami berdua yang pernah mendapat liputan dalam media sebelum ini dan sebaik mengiyakan, mereka sangat teruja,” jelasnya.

“Tanpa membuang masa mereka terus mengambil peluang merakamkan gambar kenangan,” katanya.

“Mungkin penampilan kami yang berbaju pengantin berjalan di tengah jalan menarik perhatian orang ramai terutama You Narae, wanita Korea tetapi mengenakan busana Melayu,” tambahnya.

Menurutnya, majlis persandingan akan diadakan pada 29 September depan di Seoul dan dia turut meminta warga Malaysia yang belajar atau bekerja di sana supaya dapat hadir untuk memeriahkan majlis persandingan mereka.

“Majlis di Kelantan pula kalau tiada aral melintang, Insya-Allah akan berlangsung pada Februari tahun depan,” katanya.

Sebelum ini, pasangan merpati dua sejoli itu menjadi tular di laman sosial apabila Ryzal membawa You Narae pulang menyambut Aidilfitri di Kelantan pada Jun lalu.

Sumber: Harian Metro