Kisah seorang wanita berketurunan Cina memeluk Islam mendapat sokongan daripada ayahnya menjadi tular di laman sosial kerana warga laman sosial begitu tersentuh selepas membaca jawapan ayah kepada wanita itu dalam satu perbualan.

Wanita tersebut yang dikenali sebagai Jinghan Naan atau lebih dikenali sebagai Jihan, berkongsi perbualan antara dirinya dengan ayahnya mengenai tindakannya yang memeluk agama Islam.

Menurutnya, perbualan itu bermula apabila ayahnya meminta dia membeli satu barang di laman web Carousell dan memberi alamat kepada ayahnya untuk mengambil barang itu.

Namun, penjual tersebut yang merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu agak keliru kerana dia menyangkakan pembeli yang bakal ditemui adalah orang Melayu.

Lelaki Melayu itu bertanya kepada ayah Jihan adakah dia seorang Cina Muslim kerana melihat Jihan bertudung.

“Anak perempuan saya Cina Muslim. Dia dah masuk Islam,” ujar ayahnya kepada penjual barang berkenaan.

Kemudian, lelaki itu bertanya lagi mengapa dia membenarkan anaknya menukar agama dan tidak menghalangnya.

Ayah Jihan menjawab bahawa dia tidak pernah menghalang anaknya (memeluk Islam), malah menyokong keputusan anaknya.

Walau bagaimanapun, lelaki itu musykil kenapa dia menyokong keputusan Jihan hingga membuatkan ayahnya berasa hairan.

“Kenapa orang terkejut apabila mereka tahu saya membenarkan kamu menukar agama,” soalnya kepada Jihan.

“Kerana ayah lain dari yang lain! Kebanyakan ibu bapa lain takkan benarkan. Sebenarnya, kenapa ayah benarkan saya menukar agama?” soalnya pula.

“Kerana saya faham erti kehidupan dan apa yang dimaksudkan untuk mencari kebahagiaan. Apa tujuan hidup yang sebenar? Untuk mencari kebahagiaan,” kata ayahnya.

“Setiap orang berbeza dalam mencari kebahagiaan. Ada yang mencari kebahagiaan dalam bentuk kekayaan, kekeluargaan dan agama,” jelasnya.

“Sebagai ibu bapa, apa yang kami mahukan? Untuk melihat anak-anak bahagia. Semua agama mengajar kebaikan. Jika kam memberitahu saya bahawa Islam membuatkan kamu gembira, jadi kenapa saya harus menghalang kamu?” sambungnya.

Tambah Jihan, ayahnya adalah seorang yang berpegang pada kata-kata. Mungkin ayat yang disampaikan begitu mudah, tetapi agak bermakna apabila difahami.

Semoga Jihan sentiasa istiqomah di samping suami tercinta dan keluarga. Mungkin akan ada dalam kalangan kita terbuka hati untuk berhijrah sepertinya selepas membaca perkongsian ini.

Sumber: Fb Jinghan Naan & Oh Media