Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, diminta menghubungi peguamnya, Datuk Mohd Imran Tamrin, dengan segera selepas dia tiada di bilik wad Hospital Pakar Ampang Puteri sejak petang semalam.

Menurut peguam Jamal, insiden ini berlaku kerana terjadi sedikit salah faham dengan anak guamnya yang beranggapan proses ikat jamin telah selesai.

“Saya memohon kemaafan kepada semua terlibat terutamanya pihak polis, mahkamah dan hospital dalam kes ini,” tulisnya dalam kenyataan media di laman Facebook.

Tambahnya, ini adalah pengalaman pertama Jamal menghadapi situasi atau prosedur pertuduhan luar kamar mahkamah.

“Saya khuatir beliau dalam keadaan trauma atau tekanan kerana situasi dan keadaan ini adalah sesuatu yang baru untuk beliau,” katanya.

Berikutan itu, Imran bersama rakan-rakan bijaksana membantu polis mengesan dan mendapatkan anak guam mereka sejak pukul lima petang semalam tetapi gagal.

“Setelah hampir lebih 10 jam usaha untuk mendapatkan beliau gagal, kami telah dibenarkan pulang untuk terus membantu pihak polis bagi menyelesaikan proses tersebut,” jelasnya.

Jamal didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu dan kehilangannya di hospital disedari oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada pukul 5.30 petang semalam.

Sumber: mStar