Jalan Tuanku Abdul Rahman(Jalan TAR) yang ditutup kepada semua kenderaan persendirian pada hujung minggu sebelum ini akan dibuka semula kepada kenderaan pada hari Sabtu ini bersamaan 11 Mei untuk memudahkan orang ramai membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas berbincang dengan Batu Road Retailers Association (BARRA) dan Masjid India Business Association (Miba).

“Oleh kerana ia merupakan bulan puasa dan menjangkakan jualan meningkat khususnya menjelang Hari Raya, mereka mohon jalan ini dibuka untuk hari minggu untuk persiapan membeli belah untuk Raya,” ujarnya.

“Maka selepas berbincang bersama, kita membuat keputusan Jalan TAR akan dibuka kembali pada hari Sabtu dan Ahad sehingga hujung bulan Syawal supaya pembeli boleh datang dan dapat kemudahan membeli-belah,” jelasnya.

utusan.com.my

Terdahulu, rancangan menjadikan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sebagai kawasan pejalan kaki dilaksanakan secara percubaan pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang bulan lalu.

Sumber: Sinar Harian