Pada hujung minggu lalu, kebanyakan jalan utama ke Utara, Pantai Timur dan Selatan mengalami kesesakan yang teruk berikutan warga kota yang mahu pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga tersayang.

Jalan utama ke Pantai Timur kita sedia maklum bahawa sesiapa yang melalui jalan tersebut akan mengalami kesesakan teruk yang berpanjangan sehingga ke negeri yang dituju.

Seorang gadis yang terperangkap dalam kesesakan jalan semasa hendak pulang ke Kelantan sempat mengambil gambar seorang lelaki yang berjalan kaki sehelai sepinggang di pembahagi jalan.

“I dah cakap dah baik jalan kaki je balik Kelantan and someone really did it!” tulis @NinieyIshak di laman Twitter.

Difahamkan, gadis dikenali sebagai Niniey itu menyatakan gambar tersebut diambil semasa dia dalam perjalanan pulang ke kampung dari Kuala Lumpur ke Pasir Mas, Kelantan.

“Saya terserempak dengan lelaki tu masa dekat lebuh raya nak masuk ke Gua Musang, kira-kira pukul 5.45 petang Sabtu,” jelasnya.

“Masa tu saya dalam perjalanan bersama dua kakak. Memang kesesakan teruk nak balik Kelantan, 22 jam sampai kira-kira pukul 2.10 pagi Ahad,” ujarnya.

Berikutan gambar lelaki berjalan kaki pulang ke Kelantan itu tular di laman sosial, ramai warga laman sosial bersimpati dengannya dan mendoakan keselamatannya serta tidak kurang juga mahu menghulurkan bantuan.

Seorang pemuda yang mendakwa mengenali lelaki berkenaan memberitahu alasan sebenar mengapa rakannya itu sanggup berjalan kaki pulang ke kampung halaman walaupun jauh.

“SubhanAllah. Rakan sekolah tu, dia ni memang hidup susah. Tiga hingga empat kali juga dia jalan kaki dari KL ke Kelantan. Duit dia tak ada, banyak kali dah kami tolong,” ujar pemuda itu di laman Twitter.

Pemuda itu enggan dikenali meminta orang ramai mendoakan yang terbaik kepada rakannya. Diharap lelaki tersebut telah selamat sampai di kampung halamannya serta sempat menyambut hari raya bersama keluarga.

Sumber: mStar