Minggu depan kita bakal menyambut hari raya Aidiladha dan ini bermakna umat Islam yang berada di Tanah Suci Mekah sedang mengerjakan haji.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, sesiapa yang mahu berpuasa sunat sempena hari wukuf di Arafah boleh berpuasa pada 9 Zulhijjah 1439 Hijrah iaitu bersamaan 21 Ogos ini.

Gambar sekadar hiasan

Menurutnya, walaupun Mahkamah Agung Arab Saudi mengumumkan 1 Zulhijjah (Ahad) bersamaan 12 Ogos dan seterusnya menetapkan wukuf di Arafah pada 20 Ogos (Isnin) serta Aidiladha pada 21 Ogos ini, matla’ (tempat terbit anak bulan) negara Malaysia adalah berbeza dengan Arab Saudi kerana ia berkedudukan lebih barat menyebabkan peluang kenampakan hilal (anak bulan) lebih tinggi di negara tersebut.

“Perbezaan waktu antara kedua-dua negara sekitar lima jam. Justeru, ketika hilal dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan hilal tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia dan peluang kenampakan juga lebih mudah,” jelasnya.

“Sebagai penduduk di Malaysia, kita hanya boleh menerima pakai keputusan cerapan hilal matla’ di negara kita,” sambungnya.

Oleh itu, umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 22 Ogos (Rabu) seperti yang diumumkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebelum ini.

Sumber: Astro Awani