Pemain bola sepak Harimau Malaya, Safawi Rasid, meminta peminat bola sepak negara ini menjaga adab dan nama Malaysia terutama di laman sosial rasmi kelabnya, Portimonense SC.

Menurutnya, dia sedar harapan tinggi yang diletakkan oleh semua penyokong bola sepak tanah air yang mahu melihatnya beraksi di Portugal selepas menyertai kelab itu, awal bulan lalu.

Malah, dia telah berusaha melakukan yang terbaik bagi memikat perhatian barisan kejurulatihan namun rezeki masih belum memihak kepadanya untuk beraksi.

Untuk pengetahuan anda, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dipinjamkan selama semusim kepada kelab Portugal, Portimonense SC, berharap semua pihak bersabar dan mendoakan kejayaannya di sana.

“Saya harap penyokong bersabar. Saya tahu mereka tidak sabar untuk melihat saya tampil buat kali pertama tetapi kita jaga adab kita dan nama Malaysia kita. Apapun, terima kasih sentiasa memberi sokongan kepada saya,” ujarnya.

“Insya-Allah sampai rezeki saya, saya akan membuatkan penyokong gembira,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, dia tidak tertekan dengan memikul harapan tinggi daripada para penyokong yang sentiasa menyokong dirinya.

“Bagi saya, tiada tekanan kerana kita tidak boleh mengawal mereka. Tetapi saya harap mereka dapat menjaga adab kita di media sosial kerana rakyat Malaysia terkenal dengan budi bahasa yang tinggi,” ujarnya.

“Alhamdullilah hampir sebulan saya di sini, banyak perkara yang sudah saya pelajari. Apa yang penting saya perlu kuat untuk disenaraikan dan mendapat peluang beraksi,” katanya.

Tambah pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu, dia tetap menghargai peminat bola sepak negara yang sentiasa menyokongnya dan menganggap mereka adalah tulang belakang di atas kejayaannya selama ini.

Sumber: Harian Metro