Semalam, pekerja Rapid KL, Shahira Nurdiyana Rauf, 32 tahun, terpaksa menjadi “bidan terjun” bagi menyambut kelahiran bayi di Stesen LRT Puchong Prima, Selangor.

Semasa kejadian pada pukul 6.30 petang, Shahira yang sedang berehat terdengar jeritan rakan sekerjanya meminta bantuan.

“Seorang wanita mengadu sakit perut dan menunjukkan tanda untuk melahirkan anak,” ujarnya.

Melihat keadaan wanita berusia 36 tahun tersebut tu, dia dibantu oleh penyelia pembersihan membawanya ke bilik rawatan di stesen berkenaan.

“Wanita itu selamat melahirkan bayi lelaki sementara menanti pasukan perubatan tiba,” jelasnya.

myrapid.com.my

Selepas itu, wanita dan bayi itu dibawa dengan ambulans ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan lanjut.

Berikutan tindakan pantas Shahira, dia menerima penghargaan daripada pengurusan Prasarana dan diraikan di dalam majlis ringkas di Ibu Pejabat Prasarana.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah, memuji keberanian dan kebolehannya mengendalikan situasi cemas ini dan menyampaikan saguhati atas tanda terima kasih syarikat.

Selain itu, dia juga yang baru memulakan tugas selepas cuti berpantang anak kedua rasa bersyukur kerana bayi dan wanita berkenaan dalam keadaan sihat.

“Pengalaman melahirkan dua cahaya mata dan sifat keibuan yang dimiliki turut membantu mengendalikan situasi cemas ketika melahirkan bayi tersebut,” tambahnya lagi.

Sumber: Harian Metro