Empat banduan terpilih dari Penjara Tapah bakal menikmati Hari Raya Aidiladha bersama keluarga masing-masing apabila Jabatan Penjara Malaysia memberi peluang kepada mereka untuk bercuti bersama keluarga selama tujuh hari.

Difahamkan, cuti tersebut diberikan melalui program Pelepasan Banduan Secara Berlesen(PBSL) yang tertakluk dalam Seksyen 43 Pelepasan Banduan Secara Berlesen Akta Penjara Malaysia.

Banduan terpilih akan dilepaskan dengan syarat-syarat tertentu selama tujuh hari dan kembali menjalani hukuman selepas tempoh tersebut melalui program berkenaan.

Pengarah Penjara Tapah, Timbalan Komisioner Penjara Kamarudzaman Mamat, menjelaskan bahawa antara syarat utama untuk mengikuti program PBSL adalah dengan persetujuan pihak keluarga, tahap kepulihan banduan, kemajuan banduan dalam Program Pembangunan Insan(PPI) dan disiplin mereka.

Menurutnya, banduan yang boleh memohon adalah mereka yang menjalani hukuman lama dan telah menjalani hukuman penjara tidak kurang daripada empat tahun dan telah berada di peringkat empat dalam Sistem Peringkat Progresif di penjara.

“Pelepasan secara berlesen ini adalah bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan antara keluarga dan penghuni penjara yang telah terpisah di samping sebagai persediaan kepada mereka untuk mereka berhadapan dengan masyarakat dari segi pekerjaan dan kehidupan selepas mereka dibebaskan,” ujarnya.

Mungkin dengan pendekatan seperti ini akan memberi inspirasi kepada banduan lain untuk memenuhi syarat-syarat yang diperlukan untuk berjumpa dengan keluarga tersayang yang telah terpisah lama.

Sumber: Astro Awani