Berikutan tular mengenai isu ayam goreng berulat yang didakwa seorang gadis dibeli daripada restoran makanan segera popular, McDonalds, baru-baru ini.

Disebabkan dakwaan gadis tersebut, ramai yang mempercayai dakwaan tidak betul itu dan turut sama untuk tidak membeli makanan daripada McDonalds.

Kemudian, gadis yang dikenali sebagai Arabella di laman sosial Twitter, membuat kenyataan permohonan maaf secara terbuka kepada pihak McDonalds Malaysia atas dakwaan palsu yang dilakukannya.

Ramai yang tertanya-tanya apakah tindakan pihak McD terhadap gadis itu dan isu ni memandangkan ia sedikit sebanyak menjejaskan imej dan reputasi restoran makanan segera popular itu.

Semalam, pihak McD telah mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Inggeris bagi menjelaskan tindakan yang bakal diambil oleh mereka.

Mengakui hak seseorang untuk bebas bersuara, pihak McD menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika berkongsi kandungan di internet selain menekankan supaya tidak menyebarkan rasa takut yang tidak perlu dalam kalangan warga laman sosial.

Selain itu, mereka turut menjelaskan mengenai tahap kebersihan dan keselamatan makanan menjadi keutamaan dan mereka menjaga kualiti makanan ke tahap tertinggi serta menurut standard penyediaan makanan yang ketat.

Difahamkan, mereka sedang mencari nasihat undang-undang serta pandangan prosiding mahkamah terhadap warga laman sosial yang menyiarkan semula atau menerbitkan artikel mengenai isu ayam berulat berkenaan.

Malah, mereka juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap individu yang cuba merosakkan jenama dan reputasi mereka.

Sumber: Twitter @megatdanial