Hari ini kita bakal menyaksikan pertabalan Yang di-Pertuan(YDP) Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah secara rasmi.

Mohd Yusni Ariffin

Difahamkan, istiadat memuliakan keberangkatan YDP Agong dan Raja Pemaisuri Agong berlangsung di Istana Abdulaziz, Kuantan bermula 6.30 pagi tadi.

Istiadat itu dimulakan dengan ketibaan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan juga barisan EXCO kerajaan negeri.

Kemudian, baginda berangkat ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada pukul tujuh pagi dan disambut Kawalan Kehormatan Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ lagu Negaraku.

Selain itu, tembakan Meriam Kehormatan sebanyak 21 das dilakukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ketua Pasukan Kawalan Kehormatan tampil memohon perkenan YDP Agong untuk memeriksa kawalan kehormatan.

Muhd Asyraf Sawal

Kawalan Kehormatan Utama kemudian akan mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ lagu Negaraku buat kali kedua dan selepas itu Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman membaca doa.

YDP Agong dan Raja Permaisuri Agong kemudiannya menaiki pesawat khas untuk berangkat ke Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 7.50 pagi.

Baginda disambut oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datin Seri Norizam Che Mohd Nor dan barisan pegawai kanan kerajaan sebelum menaiki kenderaan menuju ke Dataran Parlimen kira-kira 8.50 pagi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah bersama Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan baginda yang dijangka tiba di Dataran Parlimen 9.30 pagi.

Gambar sekadar hiasan

Malah, tiupan nafiri mengiringi baginda menuju ke pentas diraja sambil diiringi Pasukan Pengawal Tombak, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri pengiring.

Kawalan Kehormatan Utama menyembahkan ‘Hormat Diraja’ dan lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam ATM, serentak itu bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dipecahkan di sebelah kanan pentas diraja dan tembakan meriam 21 das dimulakan.

Ketua Kawalan Kehormatan kemudian tampil menghadap memohon perkenan baginda memeriksa kawalan kehormatan utama, diikuti memberi perintah ‘kalih senjata’ untuk menukarkan senjata ke tangan kiri dan bersedia bacaan doa yang akan disempurnakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Selepas itu, baginda berangkat ke Istana Negara dengan menaiki kereta diraja pada pukul 10 pagi.

Sumber: Harian Metro