Demi mendapatkan pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Kuching di atas 15 pertuduhan memalsukan kematian, semalam.

Difahamkan, kedua-duanya mengaku bersalah setelah pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibacakan terhadap mereka di hadapan tiga Mahkamah Majistret berasingan.

Tertuduh, Hamidah Talaha, 45 tahun, memalsukan kematian suaminya, Mansor Idris, 46 tahun, dengan memperdayakan seorang pegawai eksekutif PERKESO Sarawak untuk mengeluarkan pampasan kematian berjumlah lebih RM26,000.

Pampasan itu diserahkan kepada tertuduh secara berperingkat mulai 9 Ogos 2019 sehingga 1 Oktober lepas di pejabat PERKESO di Jalan Padungan, Kuching, Sarawak, selepas dia menyerahkan sijil kematian suaminya yang didakwa telah meninggal dunia pada awal tahun lalu.

Berikutan itu, Hamidah menerima sejumlah RM7,061.02 pada Ogos 2019 dan menerima sejumlah RM1,354.17 setiap bulan pada bulan berikutnya sehingga Oktober tahun ini.

Namun, perbuatan pasangan itu terbongkar apabila pegawai eksekutif PERKESO yang juga pengadu bagi kes tersebut mengetahui dia ditipu pada 15 Oktober lalu selepas seorang pekerja Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia(RELA) yang juga kenalan tertuduh (Mansor) memaklumkan tertuduh yang tinggal sekampung dengannya masih hidup.

Pihak PERKESO turut membuat semakan di Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) dan JPN telah mengesahkan sijil kematian atas nama tertuduh namun tiada sebab kematian dipaparkan.

Pengadu bagaimanapun merasakan tertuduh memalsukan sijil kematiannya dan seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Untuk pengetahuan anda, pasangan tersebut menipu kerana mereka terdesak akibat kesempitan wang dan berhutang dengan Syarikat Pinjaman Wang Berlesen.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar, Majistret Zaiton Anuar dan Majistret Zubaidah Sharkawi, menetapkan 3 November depan untuk menjatuhkan hukuman memandangkan pihak penjara mempunyai prosedur operasi standard(SOP) ketat dan belum menerima sebarang banduan dalam langkah mengawal pandemik Covid19.

Kemudian, kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah RM30,000, sementara menunggu sebutan kes.

Syukri menetapkan kedua-dua tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan seminggu sekali, selain mengarahkan mereka untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sumber: Berita Harian