Selepas berang apabila isteri meminta cerai, seorang lelaki tergamak memukul kepala isterinya menggunakan al Quran di samping memukul anak perempuannya dengan rotan hingga cedera di kaki dan tangan.

utusan.com.my

Kejadian tersebut berlaku pukul 3.30 petang pada 21 Februari lepas semasa ketiga-tiga beranak itu berada di rumah di Jalan Tengah Stulang Baru, Johor Bahru, menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais.

“Punca kejadian apabila isteri kedua yang dinikahi pada 18 Ogos 2017 berusia 40 tahun mahu menuntut perceraian dengan suspek, namun lelaki itu tidak dapat menerimanya hingga menimbulkan kemarahan,” ujarnya.

“Suspek kemudian masuk ke dalam bilik tidur dan mengambil sebatang rotan berukuran 60 sentimeter di atas almari lalu memanggil anak kandung perempuannya berusia sembilan tahun masuk ke dalam bilik,” jelasnya.

Malah, suspek tersebut juga memukul kepala isterinya menggunakan al Quran sebanyak tiga kali.

“Siasatan lanjut mendapati situasi seperti itu sudah dua kali dilalui anak perempuannya yang dipukul lelaki terbabit menggunakan rotan, selain tidak membuat laporan polis mengenainya,” sambungnya.

Berikutan itu, terdapat kesan kecederaan lama pada bahagian lengan kiri dan betis kiri kanak-kanak perempuan tersebut.

Kini, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Sumber: Harian Metro