Menteri Kanan(Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan pemakaian topeng penutup hidung dan mulut bukan sesuatu yang diwajibkan oleh peraturan atau undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

Gambar sekadar hiasan

Oleh itu, pihak pasar raya atau kedai tidak boleh menghalang individu yang tidak memakai topeng itu daripada memasuki premis mereka.

Namun, kerajaan amat menggalakkan semua pihak mengambil tanggungjawab untuk memakainya terutama mereka yang bergejala seperti batuk dan selsema.

“Tidak menjadi kesalahan jika ada yang tidak memakai penutup muka dan pengurusan mana-mana premis tidak boleh menghalau pelanggan yang tidak memakainya,” ujarnya.

“Saya berharap pasar raya atau kedai tidak mengambil undang-undang sendiri dengan mengenakan sesuatu halangan yang bertentangan dengan peruntukan serta peraturan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

“Tidak boleh halau dan paksa pelanggan balik rumah dulu. Ini tidak boleh kerana bertentangan dengan akta itu,” katanya.

Tambahnya, dia turut menyarankan semua premis perniagaan menjual topeng penutup hidung dan mulut di pintu masuk premis bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan.

“Bagi mengelakkan pelanggan pulang dengan tangan kosong kerana tiada penutup hidung dan mulut, saya minta agar pengurusan pasar raya dan kedai menjual bahan berkenaan kepada pengguna di pintu masuk,” ujarnya.

“Saya mencadangkan pasar raya letakkan (topeng penutup hidung dan mulut) di luar dan jual jika itu diperlukan dan ditetapkan kepada pelanggan mereka, tetapi perlu diingatkan pemakaian topeng muka tidak wajib dan tiada dalam peraturan dan undang-undang,” cadangnya.

Sumber: Astro Awani