Selepas kemenangan besar pada minggu lalu, juara Lightweight dunia, Khabib Nurmagomedov, 30 tahun, kini menunggu keputusan daripada pihak Ultimate Fighting Championship (UFC) berkenaan insiden dia menyerang pasukan Conor McGregor di luar gelanggang selepas tamat perlawanan.

Difahamkan, Suruhanjaya Olahraga Neveda belum lagi menentukan bentuk tindakan bakal dikenakan ke atas ikon sukan tempur campuran (MMA) Dagestan itu.

Walau bagaimanapun, perkara itu tidak mengganggu Khabib kerana agamanya lebih penting berbanding sukan. Dia sentiasa berusaha untuk menjadi seorang Muslim yang baik dan sentiasa mengucapkan kalimah “Alhamdulillah” setiap kali menang perlawanan serta ketika memberi ucapan.

“Bagi saya, agama lebih penting. Kita jangan tinggalkan solat dan sentiasa berhubung dengan Tuhan,” ujarnya yang mengaku pernah menolak tawaran kontrak lumayan untuk beraksi di UFC 224 kerana bertembung dengan ibadah puasa.

Menurutnya, dia mahu fokus beribadah semasa bulan Ramadan kerana ia lebih penting dan mengatasi segala-galanya termasuklah kontrak yang lumayan.

Untuk pengetahuan anda, Khabib memegang rekod 27-0 dalam MMA, satu rekod yang jarang dicipta mana-mana atlet sukan tempur.

Dia mengungguli tali pinggang Lightweight selepas mengalahkan Al Laquinta pada aksi UFC 223 pada April lepas dan mempertahankan gelarannya dengan menewaskan Conor McGregor pada aksi UFC 229 di Las Vegas Sabtu lalu.

Ramai yang tidak tahu sebenarnya Khabib sudah berkahwin pada tahun 2013 dan sudah mempunyai dua orang anak.

Namun, tiada siapa mengetahui nama anak sulungnya tetapi anak keduanya hanya dapat dikenalli sebagai Mohammed. Selain itu, mereka sekeluarga tinggal di Makhachkala, Republik Dagestan.

Sumber: mStar