Pelakon dan pengacara, Irma Hasmie mengakui, pada era teknologi ini sangat mencabar dari segi mendidik anak-anak agar patuh dengan disiplin menunaikan ibadah.

Zaman sekarang anak kecil mudah terbuai dengan gajet sehingga membuatkan mereka lalai untuk belajar. Ketagihan terhadap gajet juga turut membahayakan diri kanak-kanak.

Berkongsi mengenai perkara ini, Irma berkata, walaupun kadangkala menonton saluran YouTube mendatangkan kebaikan, ia perlu dikawal agar anak-anak tidak ketagih.

Kata Irma yang kini mengendalikan program Assalamualaikum siaran TV Al Hijrah, dia berhadapan dengan masalah sama apabila dua anaknya Redza Syah Irfhan, 6, dan Irma Nur Naylie, 5, sewaktu kecil juga sangat suka gajet.

“Begitupun, apabila anak-anak sudah cecah dua tahun, saya cuba kawal penggunaan gejet anak-anak yang suka menonton video di beberapa saluran yang ada.

“Bagaimanapun, apabila anak sudah sekolah tadika, lebih senang untuk saya kawal.

“Saya jelaskan akibat dan tunjuk kesan buruk yang dialami anak-anak kecil yang terlalu taasub dengan gajet, mereka jadi takut,” katanya.

Gambar: Awani

Jelasnya, begitu juga de­ngan tanggungjawab anak-anak mengenai sembahyang dan mengaji. Tidak perlu disuruh tetapi mereka sendiri tahu apa yang harus mereka lakukan apabila tiba waktu.

“Saya sendiri sebelum ini rajin juga menghadiri kelas mengenai keibubapaan.

“Daripada situ banyak ilmu yang saya timba dan gunakan dalam mendidik Irfhan serta Naylie,” kata­nya.

Irma turut berterima kasih kepada guru disekolah anaknya Kerana usaha mendidik anak mengenai tanggungjawab sebagai seorang muslim.

“Saya ada juga ajar tetapi selebihnya mereka tahu daripada pembelajaran di sekolah.

“Alhamdulillah, ketika usia sangat mentah mereka sudah tahu apa hukum jika tidak sembahyang dan mengaji.

“Saya berterima kasih kepada guru-guru di sekolah di mana anak saya belajar,” katanya.

Sebelum menghantar Irfhan dan Naylie ke prasekolah, mereka meneliti setiap sekolah aliran Islam yang ada dan bertemu dengan tenaga pengajar.

Selain sekolah, Irma turut menghantar anaknya ke kelas mengaji dan bagusnya di situ tenaga pengajar turut mengajar mengenai hadis dan sirah nabi bagi menanam sifat cintakan Rasulullah SAW.

“Mereka sudah faham erti takut sekiranya tidak melakukan apa yang sepatut­nya mereka lakukan sebagai umat Islam.

“Saya bersyukur dengan perkembangan ini,” katanya.

Irma berkata, pentingnya pendidikan al-Quran di­terapkan kepada anak-anak kerana dapat mengajar dan mengasah minda.

“Kalau kita lihat anak-anak sekolah tahfiz apabila menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), keputusan yang diperoleh sangat cemerlang.

“Bayangkan ada antara mereka hanya belajar selama setahun untuk menduduki peperiksaan,” katanya.

Sumber: Harian Metro