Bacaan indeks pencemaran udara(IPU) di Johan Setia, Klang mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu bacaan 103 pada pagi tadi.

Menurut laman sesawang Indeks Pencemaran Udara Malaysia(APIMs), sehingga pukul 8 pagi, sebanyak 65 stesen mencatatkan bacaan sederhana antara 51 hingga 100 dan dua stesen lagi mencatatkan bacaan baik.

Sejak semalam, IPU yang diterbitkan oleh Jabatan Alam Sekitar melalui laman sesawang APIMs mengambil kira kepekatan partikel halus (Particle Matter) yang bersaiz 2.5 mikron dan ke bawah (PM2.5).

Difahamkan, penggunaan PM2.5 dalam pengiraan IPU adalah selari dengan kebanyakan negara maju dan mempertingkatkan usaha kerajaan ke arah melestarikan alam sekitar.

Untuk pengetahuan anda, bacaan IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Selain itu, orang ramai boleh merujuk portal http:/apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan negara bakal berdepan dengan pencemaran udara atau jerebu mulai hari ini yang berkemungkinan disebabkan oleh kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera, Indonesia.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, Sumatera terletak di barat daya Malaysia dan pergerakan angin ke negara ini adalah dari arah tersebut. Malah, tiupan angin tersebut juga dipengaruhi oleh faktor tekanan angin rendah di Laut China Selatan.

Sumber: Sinar Harian