Sejak kebelakangan ini, kes pencemaran sungai dengan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, menjadi semakin serius selepas ramai pelajar di sekolah-sekolah berdekatan dimasukkan ke hospital kerana terhidu bahan kimia.

Difahamkan, pemilik syarikat tayar kitar semula, antara tiga suspek ditahan Isnin lalu akan didakwa kerana membuang bahan kimia di sungai tersebut di mahkamah pada hari esok(Khamis).

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, memberitahu bahawa kertas siasatan telah siap dan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada pagi ini untuk mendapatkan penilaian dan pertimbangan untuk mendakwa.

kosmo.com.my

“(Dan) kita harap dapat dakwa (suspek) esok di mahkamah. Jika sabit kesalahan, dia akan dipenjara maksimum lima tahun dan juga denda RM500,000 di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Malah, dia telah menghubungi Peguam Negara, Tommy Thomas, mengenai kemungkinan mengenakan beberapa tuduhan terhadap suspek memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan hukuman setakat ini tidak mencukupi.

“Memandangkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah siap siasatan, kita akan dakwa dahulu tetapi ia tidak dihadkan kepada undang-undang ini sahaja, dia boleh didakwa di atas Kanun Keseksaan dan mungkin akta-akta lain,” jelasnya.

Sumber: Astro Awani & Bernama