Disebabkan virus Covid19 melanda dunia sekarang ini, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan rakyatnya sahaja menunaikan umrah dan haji pada tahun ini untuk mengelakkan penyebaran virus wabak tersebut.

Namun, kepada umat Islam negara ini yang berhajar untuk menunaikan umrah pada tahun depan, anda mungkin perlu memohon kebenaran masuk ke Tanah Suci dengan kerajaan Arab Saudi terlebih dahulu sebelum membuat visa.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd Sham, menjelaskan bahawa peraturan baru itu dimaklumkan oleh Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Saeed Qattan, dalam pertemuan semalam.

Menurutnya, ia antara prosedur yang dicadang dikenakan kerajaan negara berkenaan bagi mengekang penularan wabak Covid19 selain mahu mengehadkan kemasukan jemaah umrah luar negara pada satu-satu masa.

“Ketika ini Arab Saudi hanya membenarkan rakyatnya melakukan umrah, bagi rakyat asing berkemungkinan Januari tahun depan. Itu pun tertakluk kepada kira-kira 20 negara yang mendapat kebenaran,” ujarnya.

“Malam tadi (semalam) atas jemputan Duta (Mahmoud Hussein) untuk makan malam, saya diberitahu setiap jemaah umrah perlu buat permohonan kemasukan dahulu sebelum memohon visa,” jelasnya.

“Apabila dapat tarikh untuk masuk ke Mekah, barulah boleh diteruskan dengan permohonan visa dan prosedur lain, malah syarat masih ketat termasuk penjarakan fizikal. Nak buat tawaf sunat juga tidak dibenarkan, hanya boleh tawaf umrah sahaja,” katanya.

Walau bagaimanapun Mahmoud Hussein tidak memberitahu secara lanjut mengenai prosedur memohon kebenaran masuk itu dan difahamkan kerajaan Arab Saudi sedang merangka prosedur operasi standard(SOP) keseluruhan bagi umrah termasuk bilik penginapan jemaah dan pergerakan di lapangan terbang.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO), setakat ini negara Arab Saudi mencatatkan 326,930 kes Covid19 dan 4,330 kematian.

Sumber: Harian Metro