Baru-baru ini, tular di laman sosial mengenai isu mengambil durian bersama kopi memudaratkan kesihatan dan ramai yang tertanya-tanya mengapa ia terjadi.

Untuk pengetahuan anda, durian mengandungi gula yang boleh difermentasi bakteria dalam usus perut hingga menyebabkan pemakannya mengalami kembung perut.

Difahamkan, pengambilannya bersama minuman seperti kopi boleh meningkatkan lagi gejala tersebut.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia(UPM), Dr Norhasnida Zawawi, menjelaskan bahawa situasi bertambah buruk jika pemakannya adalah mereka yang mengidap penyakit ‘Irritable Bowel Syndrome’ atau sindrom rengsa usus(IBS).

Menurutnya, mereka yang mengidap IBS jarang mengetahuinya kerana kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang penyakit itu.

Pesakit IBS selalunya berasa tidak selesa selepas memakan durian bersama minuman seperti kopi.

“Gabungan kopi dan durian boleh meningkatkan lagi simptom penyakit disebabkan kandungan ‘salicylates’ selain minuman bergas juga menambahkan kesan kembung perut,” ujarnya.

“Malah, IBS akan menyebabkan kandungan gas dalam usus meningkat mendadak sebagai reaksi bakteria dalam usus terhadap gula yang boleh difermentasi seperti gula dalam durian,” jelasnya.

Katanya, sindrom itu semakin meningkat apabila durian dimakan bersama makanan yang mengandungi kandungan FODMAP (Fermentable oligosaccharide, di-mono-and polyols) yang tinggi.

“Durian turut mengandungi gas semula jadi dan bahan meruap yang meningkatkan lagi kandungan gas dalam sistem pencernaan selepas dimakan,” katanya.

“Ini menyebabkan individu yang memakan durian berasa tidak selesa kerana kandungan gas yang banyak dalam usus terutama kepada pesakit IBS,” tambahnya.

Selain itu, sindrom ini boleh dirasai mana-mana individu namun ia lebih mudah dirasai mereka yang menghidap penyakit ini.

“Makan dalam kuantiti sederhana supaya reaksi gas dalam usus tidak terlalu tinggi hingga menyebabkan kembung perut,” nasihatnya.

“Tiada implikasi kesihatan serius kepada mereka yang makan durian pada kadar yang sepatutnya mengikut panduan Kementerian Kesihatan Malaysia bahkan durian mengandungi kandungan asid folik yang tinggi yang baik untuk kesihatan,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro