Semalam, doktor sakit puan terkenal, Dr Hamid Arshat, diserbu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) berikutan menerima aduan pengguna mengenai premis tersebut yang disyaki memiliki produk kesihatan tidak berdaftar dengan KKM.

Selain itu, premis milik Dr Hamid Arshat, DHA Healthcare Enterprise yang terletak di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, didakwa tidak pernah berlesen dengan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta(CKAPS) oleh KKM sejak penubuhannya.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh, menjelaskan bahawa walaupun banyak perbincangan dan usaha dilakukan CKAPS untuk memudah cara perlesenan premis itu, namun pemilik masih tidak dapat memenuhi syor diberi supaya ia dapat dilesenkan sebagai fasiliti kesihatan swasta yang sah.

“Pada 26 Februari 2016, CKAPS mengeluarkan satu surat arahan supaya premis ini menghentikan operasi perkhidmatan kesihatan berikutan memiliki atau menjual produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan KKM melanggar Peraturan 7(1)(a) iaitu Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” ujarnya

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” jelasnya.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan pihaknya melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, adalah berdasarkan aduan awam kerana premis berkenaan dikatakan memiliki produk kesihatan tidak berdaftar.

“Pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa adalah mengikut prosedur dan standard ditetapkan KKM, bersandarkan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya.

“Sebelum pemeriksaan dilakukan, siasatan awal mendapati premis itu disahkan memiliki dan menjual produk sasaran berdasarkan belian percubaan(test buy) berserta resit bayaran,” tambahnya.

Difahamkan, walaupun produk berkenaan tiada di premis ketika pemeriksaan dilakukan, bahan iklan berbentuk risalah produk tidak berdaftar berkenaan ditemui di lokasi terbabit.

“Pemeriksaan terbabit dilakukan dengan penuh berhemah, beretika dan dalam keadaan yang tenang. Tidak berlaku sebarang kucar-kacir atau kekasaran seperti yang dilaporkan di media sosial,” sambungnya.

“KKM turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik dijual serta memastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang dikuatkuasakan,” katanya.

“Orang ramai boleh membuat semakan kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 selain memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk,” ujarnya lagi.

Malah, semua pihak digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk meragukan sebagai usaha bersama pihak KKM untuk membanteras penjualan produk kesihatan tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.

“Aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran,” terangnya.

“Orang ramai juga boleh menghubungi talian 03 78413200 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro