Suasana di Masjid Temerloh Jaya(MTJ) di Temerloh, Pahang, sentiasa dipenuhi dengan jemaah setiap kali waktu solat walaupun pada waktu Subuh.

Kadangkala, masjid itu tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai sehingga melimpah keluar kerana ia hanya mampu memuatkan 800 orang jemaah pada satu masa.

Difahamkan, suasana itu biasa dilihat sejak tiga tahun lalu adalah hasil inisiatif pengurusan masjid berkenaan yang aktif melakukan agenda mengimarahkan masjid menerusi pelan strategik 2016-2020.

Pengerusi MTJ, Dr Abdullah Ismail, menjelaskan bahawa mereka menggunakan tagline “Masjid TJ, Masjid Kita” untuk menarik orang ramai seterusnya membuatkan jemaah merasakan masjid itu kepunyaan mereka.

Pada peringkat awal, mereka menyasarkan 10 daripada 13 saf dipenuhi jemaah pada solat Subuh dan Isyak walaupun sebelum itu hanya lima saf yang penuh.

“Kami melakukan sebaran kepada semua ahli kariah menerusi khutbah Jumaat, pengumuman, kempen rumah ke rumah serta platform media sosial dengan menyelitkan motivasi melalui ayat al-Quran dan hadis mengenai kepentingan solat berjemaah,” ujarnya.

“Masjid ini bukan saja tempat untuk beribadah, tetapi juga dijadikan pusat kegiatan penduduk dalam apa juga aktiviti bagi memastikan masjid ini menjadi tumpuan penduduk sekitar,” jelasnya.

Menurutnya, MTJ turut menubuhkan Pusat Khidmat Komuniti untuk menjaga kebajikan jemaah masjid termasuk pemberian bantuan kepada yang memerlukan, ziarah mesra serta bantuan persekolahan.

“Malah kami juga menganjurkan aktiviti sukan untuk golongan muda bagi menarik minat golongan berkenaan untuk datang ke masjid,” katanya

“MTJ tidak berdepan masalah kewangan kerana ramai pihak bersedekah dan berinfak menjayakan program serta agenda masjid,” sambungnya lagi.

Semoga pengurusan masjid ini dapat memberi inspirasi kepada pengurusan masjid-masjid yang lain agar dapat menarik lebih ramai jemaah untuk solat di masjid. In Shaa Allah 🙂

Sumber: Harian Metro