Sejak kebelakangan ini, cuaca di sekitar Lembah Klang dirasakan seperti berada di tanah tinggi Cameron Highlands atau Genting Highlands terutama pada waktu malam.

Gambar sekadar hiasan

Malah, cuaca sejuk pada waktu malam dan kabus pada waktu pagi itu turut menyembunyikan Menara Berkembar Petronas daripada dilihat dengan mata kasar.

Sementara itu, kebanyakan kawasan menjadi lembap dan basah kerana hujan sepanjang hari pada hujung minggu lalu hingga menyebabkan tempat letak kereta bawah tanah sebuah pusat beli-belah popular di Cheras turut dinaiki air akibat banjir kilat.

Suhu di seluruh Lembah Klang menurun sehingga 22 darjah Celsius, iaitu suhu paling rendah dicatatkan dalam bulan ini berikutan negara kita berdepan cuaca sejuk akibat musim Monsun Timur Laut atau lebih dikenali sebagai monsun musim sejuk.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon, cuaca sejuk yang berlaku sekarang ini adalah satu fenomena biasa di Malaysia apabila angin monsun yang terbentuk di rantau Siberia-Mongolia melalui utara China merentasi Laut China Selatan dan Semenanjung.

“Langit yang mendung dan hujan berterusan adalah biasa dalam tempoh ini di kawasan Semenanjung. Ia menyebabkan suhu menurun dan menghasilkan kelembapan yang lebih tinggi yang boleh menyebabkan pembentukan kabus, ” ujarnya.

Menurutnya, musim sejuk dan hujan berkemungkinan akan berterusan sehingga awal Februari tahun depan.

Tambahnya, hujan lebat berterusan selama beberapa hari boleh mengakibatkan banjir di kawasan yang rendah serta kawasan berisiko banjir dan keadaan itu mungkin menjadi lebih buruk jika hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang.

Untuk pengetahuan anda, musim monsun dijangka akan berakhir pada bulan Mac tahun depan.

Sumber: Astro Awani & Bernama