Adik Faris Izhar Mat Jusoh, pelajar tingkatan 2, Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hangat, Langkawi ini telah tular dan mendapat perhatian ramai pabila dia boleh berbual fasih dalam bahasa Arab.

Video perbualan antara pelajar asal Langkawi ini telah dirakam oleh seorang pengguna twitter, munirdinie ketika berkunjung ke Langkawi baru-baru ini. Dia tertarik untuk merakan video itu kerana mendapati kanak-kanak itu amat fasih berbahasa Arab.

Pelancong Arab yang bersama Faris juga terkejut dan teruja, apabila ada anak jati Langkawi yang boleh bercakap dalam bahasa Ibunda mereka. Faris Izhar Mat Jusoh, anak bongsu daripada enam beradik ini bukan sahaja fasih berbahasa Arab, bahkan dia juga mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik.

“Saya ambil masa setahun untuk betul-betul fasih, bukan mudah nak fasih. Macam saya, saya tengok macam mana orang Arab bercakap” katanya kepada GPSBestari.

Tambah Faris, dia tidak mengikuti kelas khas untuk menguasai dua bahasa ini. Sebaliknya, dia hanya belajar sendiri melalui internet, selain mendengar, hafal, fokus dan belajar daripada pelancong yang ditemuinya.

“Sebelum tahu bahasa Arab, saya hafal dan cakap dalam bahasa Inggeris dulu. Setiap kali bercakap dengan pelancong, dan bagi ikan makan, saya akan cakap dalam bahasa Inggeris.

“Selepas tu barulah saya cuba belajar cakap bahasa Arab. Memanglah susah, tapi kalau dah minat semua tu akan jadi mudah” jelas Faris yang berazam untuk kuasai lebih banyak bahasa lain lagi.

Adik Faris yang bercita-cita ingin menjadi seorang askar ini, bekerja di Bc Nuri Floating Restauran Langkawi selepas tamat waktu persekolahan. Bidang kerjanya itu membolehkan Faris mengenali semua jenis-jenis ikan, selain berpeluang bertemu dengan ramai pelancong asing.

“Saya ‘kerja buat show, show tunjuk ikan’ di Bc Nuri Floating Restauran. Bermula hari Ahad sehingga hari Khamis. Selepas habis sekolah saya akan ke Fish Farm, mula pukul 2.00 petang hinggalah 6.30 petang.

“Keluarga tahu saya bekerja, lagipun hobi saya adalah bantu keluarga. Ayah saya dah meninggal, emak pula tak kerja. Tiada masalah, tidak ganggu masa saya di sekolah pun,” ujarnya.

Sumber: GPS Bestari