Masa terasa lambat bergerak apabila tibanya bulan puasa. Malah, ada di antara kita sering melihat jam kerana tidak tahan lapar dan merasakan waktu berbuka begitu lambat sekali.

Namun, tahukah anda terdapat satu lokasi yang mempunyai tempoh berpuasa paling lama di dunia?

Kajian dilakukan oleh portal beli belah dalam talian, CupoNation, mendapati tempoh berpuasa paling lama di dunia adalah di Greenland. Mungkin kita rasa tempoh berpuasa di negara sendiri paling lama tapi sebenarnya ada negara lain lagi lama tau.

Maklumat menunjukkan waktu puasa terpanjang adalah 21 jam 42 minit di wilayah autonomi Denmark itu yang terletak di antara Atlantik Utara dan Lautan Artik.

Difahamkan, penduduk Islam di negara pulau itu hanya mempunyai tempoh dua jam 18 minit sahaja untuk berbuka dan bersahur.

Gambar sekadar hiasan

Untuk pengetahuan anda, hari pertama berpuasa di negara tersebut adalah selama 19 jam 35 minit dan hari terakhir adalah selama 21 jam 42 minit.

Selain itu, Iceland juga mempunyai tempoh lama berpuasa iaitu selama 19 jam 33 minit pada hari pertama dan 21 jam 39 minit pada hari terakhir.

Kemudian, diikuti pula dengan Finland yang mempunyai tempoh berpuasa selama 18 jam 54 minit pada hari pertama dan 20 jam 21 minit pada hari terakhir puasa.

Malah, tempoh berpuasa di Estonia adalah antara 18 dan 20 jam manakala tempoh berpuasa di Sweden adalah antara 18 dan 19 jam 52 minit. Walau bagaimanapun, tempoh berpuasa paling pendek di dunia pula di New Zealand iaitu selama 11 jam 10 minit.

Sumber: Sinar Harian